ILMU TENTUKAN TAHAP KESEMPURNAAN IBADAT
oleh: Dr. Juanda Jaya
PUASA adalah rahsia di antara seorang hamba dengan Allah. Bukankah tidak ada seorang pun yang tahu apakah kita berpuasa atau tidak, melainkan Allah? Puasa juga menjadi puncak keikhlasan seseorang kepada Allah dan tanda keredaan kepada-Nya. Demi menunaikan ibadat yang sukar ini, kita rela meninggalkan segala kenikmatan semata-mata kerana mencintai Allah dan tunduk kepada-Nya. Ketika seorang hamba melafazkan niat berpuasa, dia sungguh yakin hanya kepada Allah tempat sepatutnya dia mempersembahkan segala pengorbanan. Terdetik dalam sanubarinya: "Wahai Tuhan, sesungguhnya Engkau mengetahui bahawa kelaparan, dahaga dan kelemahan jasadku ini semata-mata demi mencintai dan mentaati-Mu." Kata-kata yang tulus ikhlas ini akan dibalas dengan imbalan yang paling istimewa, seperti janji dalam sabda Rasulullah SAW melalui hadis qudsi, Allah berfirman yang maksudnya: "Sesungguhnya puasa itu adalah khusus untuk-Ku dan hanya Aku yang layak menentukan ganjarannya. Orang yang berpuasa meninggalkan kehendak nafsu syahwat dan nafsu makannya kerana mematuhi perintah-Ku.” (Hadis riwayat Muslim)Apabila Allah menyatakan hanya Aku yang layak membalasnya, ini bermakna balasan itu terlalu hebat dan tidak tercapai oleh akal fikiran, pandangan, pendengaran dan perasaan manusia. Ia sengaja disimpan menjadi rahsia yang akan dianugerahkan di akhirat kelak. Bahkan, Rasulullah SAW menyatakannya sebagai 'dua kegembiraan' bagi orang berpuasa, iaitu ketika dia berbuka dan ketika menjumpai Tuhannya. Hanya hamba-Nya yang ikhlas dan reda akan menerima. Jika kita menumpukan pada perkataan 'ikhlas dan reda', tentu yang tergambar adalah peranan hati. Di situlah tempat bersemayam kebaikan, sekali gus tempat palitan kebusukan dosa. Hanya kita yang mampu mengurus hati sendiri. Susunan perhiasan yang paling indah dan sesuai untuk hati adalah ilmu, seperti sabda Baginda yang maksudnya: "Barang siapa yang Allah menghendaki suatu kebaikan pada dirinya maka Allah memberinya pengetahuan dalam urusan agamanya." (Hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim). Sesungguhnya punca kebaikan ada pada diri kita disebabkan oleh ilmu. Seseorang tidak akan memiliki darjat ikhlas dan reda kecuali dengan pencarian dan kajian ilmunya.Menuntut ilmu agama bukan hanya kewajipan anak di sekolah. Setiap Muslim yang muda dan tua, semuanya mempunyai kewajipan mengkaji kitab Allah dan menghayati hadis Rasulullah SAW. Hari-hari yang dilalui oleh sahabat Rasulullah SAW adalah pengisian ilmu, pembersihan jiwa dan pengamalan Islam. Sesungguhnya kegiatan memperkasakan ilmu agama ini menjadi kegemaran mereka. Begitu juga contoh yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika Ramadan, Baginda melakukan aktiviti pembelajaran al-Quran bersama Jibril. Baginda bertadarus supaya kita mencontohi amalan ini dan menjadikan ia suatu kebiasaan dalam rangka menimba lautan ilmu. Supaya kita sentiasa dekat dengan ilmu, rapat dengan al-Quran, menyematkan kehendak Kalam Allah dalam hati dan amalan, juga ingat kepada nasihat Baginda dalam hadisnya. Akhirnya hari yang kita lalui pada Ramadan persis sama seperti yang dilalui oleh Rasulullah SAW dan sahabat Baginda. Sabda Baginda maksudnya: "Puasa dan al-Quran akan meminta syafaat untuk seorang yang taat. Puasa akan bermohon: Ya Allah, Aku menghalangnya daripada makan dan minum pada siang hari, maka engkau terimalah syafaatku ini untuknya. Dan al-Quran berkata: ya Allah, Aku menjaganya daripada tidur pada malam hari, maka Engkau terimalah syafaat-Ku ini untuknya. Akhirnya kedua-dua syafaat itu diterima." (Hadis riwayat Imam Ahmad).Sayangnya ada sebahagian orang yang berpuasa tetapi tidak berilmu, berpuasa kerana mengikut tradisi masyarakat di sekelilingnya. Melakukan pembaziran ketika menyambut puasa. Sengaja membuat pinjaman wang untuk membeli dan meraikan hari raya dengan niat menunjuk-nunjuk dan bermegah-megah. Sepanjang siang fokus hatinya hanya pada keghairahan duniawi. Tidak terlintas di manakah gerak hati untuk membaca al-Quran? Pada malam hari pula jiwanya dikawal syahwat dan nafsu yang tidak pernah puas, sehingga lemahlah tubuh badannya daripada melakukan Tarawih, tadarus dan qiyamulail. Dia tidak pernah menyesal meninggalkan malam-malamnya tanpa ibadat! Antara punca kelalaian ketika Ramadan disebabkan:l Kebiasaan membuang masa. Ini berlaku apabila seseorang kurang cekap memilih masa berkualiti untuk setiap ibadat yang dilakukan. Satu saat untuk satu zikir adalah ubat bagi lidah yang suka mengumpat. Membaca al-Quran lebih diutamakan daripada duduk menonton atau mendengar hiburan. Masa untuk makan diganti untuk sembahyang sunat dan membaca satu hadis Rasulullah SAW. Satu bulan anda boleh khatam al-Quran dan 30 hadis Nabi SAW. Tetapi apabila pengurusan masa tidak cekap, akibatnya anda akan tenggelam dalam kesibukan yang tidak dirancang sebelumnya.l Makan berlebihan. Perut terlalu kenyang akan menjadikan badan lemah. Makan tidak seimbang juga memudaratkan kesihatan. Rasulullah SAW bersabda maksudnya; "Orang beriman makan dengan satu usus perutnya, manakala orang kafir makan dengan tujuh usus perutnya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
No comments:
Post a Comment