Syukur pada Tuhan. Masih lagi saya bernafas di bumi-Nya ini mengharungi segala sisa-sisa usia yang masih berbaki. Terlalu banyak yang harus saya syukuri. Tapi sudah nama pun manusia sebagaimana firman Allah, "Amat sedikit sekali hamba-hamba-Ku yang bersyukur". Kadang-kadang saya lupa, Allah telah mengurniakan sesuatu yang lebih mahal harganya daripada segala isi bumi ini yakni kefahaman yang membawa saya kembali kepada-Nya. Allah telah menunjukkan jalan yang mana harus saya ikuti. Dengan jalan ini, saya telah diajar untuk menjadi seorang yang berfikiran besar. Memikirkan tentang kepentingan sekelompok manusia yang hakikatnya adalah saudara kerana kami sama akidah lebih daripada memikirkan tentang diri sendiri. Di saat awal perjalanan saya hanyut dengan perasaan rindu terhadap sesuatu yang seharusnya tidak dibenarkan Tuhan sama sekali. Berkali-kali Allah memberi petunjuk, itu bukan untuk saya. Tapi cucukan syaitan masih memberi kesan ke atas hati saya. Tapi alhamdulillah Allah beri petunjuk lagi. Saya sangat bersyukur. Benarlah kata-kata seorang sahabat, tidak semua orang mendapat apa yang dikehendaki di atas dunia ini. Lihat sahaja mereka yang bekerja untuk Islam, kehidupan mereka dari segi materialnya sangat menyedihkan, malahan mereka sanggup meninggalkan isteri dan anak yang dikasihi demi perjuangan menegakkan deen ini. Tetapi melihat kehidupan saya yang serba selesa ini, saya seharusnya menjadi mereka yang bersyukur. Dan nikmat iman ini adalah nikmat terbesar kurniaan Allah. Apatah lagi apabila faham tentang-Nya. Faham bererti mengerti apa itu islam. Mengerti apa itu jahiliyyah. Meskipun masih banyak jahiliyyah yang berbaki. Saya masih di peringkat baru mengenal. Semoga Allah dorongkan saya untuk terus berada di jalan yang benar hingga ke akhir hayat saya.
Kata seorang Hukama',
"Penderitaan menyebabkan putih perasaannya yang hitam, pengalaman membasuh jantungnya, kejadian selalu hari yang dilihat didengarnya memupuk jiwanya. Kerana percubaanya maka kenallah dia akan awal dan akhir, pangkal dan akibat. Orang beginilah yang patut disebut berakal."
Untuk digolongkan sebagai orang berakal, harusnya saya menerima segala kesedihan ini sebagai asbab untuk menjadi lebih kuat. Sekurang-kurang saya harus berterima kasih kepadanya, kerana telah mendatangkan penderitaan kepada saya, lantas menjadikan saya lebih mengerti apa itu penderitaan. Mungkin kecil pada mata orang yang terlalu banyak melalui derita dalam hidupnya, tapi sekurang-kurangnya saya kenal dan itu menjadikan saya lebih bersyukur.
Sekarang saya tahu dan yakin, Allah punya perancangan yang lebih besar buat saya. Ya Allah, pandangilah kami.
2 comments:
Kadang-kadang kita lupa bersyukur..kerana byk sgt nikmat yg dikurniakan sehingga kita merasa ini adalah apa yg perlu kita terima..
Untuk merasa bersyukur, kita perlu melihat yg dibawah..agar kita sedar kita dianugerahkan keistimewaan & keuntungan..
Penderitaan & kebahagiaan itu satu anugerah buat kita..Allah knows best...=)
:)
Penderitaan & kebahagiaan itu satu anugerah buat kita..Allah knows best...=)
dgn penderitaan it enables us to understand the meanings of life more..
thanks Ain!
Post a Comment