Muslim sebahagian besarnya memahami cinta utama dalam Islam adalah kepada Allah dan Rasul barulah kepada yang lain. Untuk meraih cinta tersebut, pelbagai cara dilakukan oleh mereka yang sedar akan hakikat ini. Mereka sedaya-upaya membuang segala jahiliyyah yang nyata membuatkan mereka menjauh dari Cinta utama tersebut. Adakalanya pengorbanan yang amat pedih dan kadang kala menimbulkan banyak prasangka dari orang lain. Sebagai Muslim, mereka memahami sama sekali mereka tidak akan membuang rakan-rakan seakidah mereka walau bagai mana jua keadaan mereka sekalipun atas dasar persamaan akidah. Inilah hakikat yang sukar untuk difahami oleh sesetengah orang. Dalam perjalanan menuju Cinta tersebut banyak kali manusia itu terkandas dan terhenti dan mungkin (naudzubillah) berpatah balik semula. Tetapi alhamdulillah kebanyakan manusia tidak pernah berhenti mencari. Pelbagai medium yang mereka gunakan untuk mencapai hasrat tersebut. Adakalanya sesetengah manusia dicampakkan dalam keadaan yang mungkin sukar buat mereka menggapai jalan tersebut. Tetapi dengan kesedaran segalanya mungkin. Selagi kefahaman bertapak dalam diri, selagi itulah manusia ini tidak akan berhenti mencari harta karun paling mahal buat jiwanya. Walau dicampak dalam lembah gelap tanpa ada orang lain pun, atau mungkin ada tetapi tidak memiliki informasi tentang cara menuju jalan tersebut, barangkali akhirya kita dan orang itu sama-sama mencari jalan tersebut, perjalanan tetap diteruskan.
Sebahagian manusia sedih apabila tercampak ke lembah gelap. Seakan-akan mereka akan terus terperangkap di situ selama-lamanya. Maka seringkali ayat-ayat cliche kedengaran "Biarlah. Aku memang jahat." Sudah tahu jahat, kenapa tidak usaha untuk berubah? Kenapa ingin berada dalam kondisi serupa? Bukankah selagi kita bernafas peluang masih terbuka? Walhal Sang Pencipta Cinta boleh menghentikan nafas bila masa saja yang disukai-Nya.
'Hadis riwayat al-lmam al-Tirmizi. Beliau berkata ia adalah hadis hasan sahih.
Daripada Anas r.a. beliau berkata: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:
Allah Ta'ala berfirman: Wahai anak Adam! Selagi mana engkau meminta, berdoa dan mengharapkan
Aku, Aku akan ampunkan apa-apa dosa yang ada pada dirimu dan Aku tidak peduli. Wahai anak
Adam! Seandainya dosa-dosamu banyak sampai mencecah awan langit kemudian engkau memohon
ampun kepadaKu, nescaya Aku akan ampunkan bagimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya engkau,
andainya engkau datang mengadapKu dengan dosa-dosa sepenuh isi bumi, kemudian engkau datang
menghadapKu tanpa engkau mensyirikkan Aku dengan sesuatu, nescaya Aku akan mengurniakan
untukmu keampunan sepenuh isi bumi.
Manusia melihat betapa kasih-sayang Pencipta melebihi segala-galanya. Keampunan diraih dengan taubat, bukan dengan nyawa dan harta-benda. Adilkah untuk manusia itu mengatakan Tuhan tidak adil? Sedangkan manusia sendiri tidak adil terhadapnya. Allah hanya memohon taubat dari hamba-Nya untuk dosa-dosa Sebanyak bumi.
Manusia-manusia yang mencari kadangkala sedih. Makin cuba dibuang halangan-halangan yang menjauhkan dari Cinta utama, makin banyak pula yang datang. Seakan-akan Cinta takkan pernah dikecapi.
Pemilik hati-hati manusia-manusia ini, buangkanlah apa-apa yang menghalang kami dari menuju ke jalan-Mu. Aminn.
No comments:
Post a Comment