“Kami adalah sepuluh umpan nasib dan kami seumpama kerang-kerang halus yang melekat erat satu sama lain dihentam deburan ombak ilmu.”
Laskar Pelangi adalah novel dan kisah benar tentang kehidupan 10 orang anak Melayu Belitong (salah seorang daripada mereka bangsa Tionghua dan penulis juga adalah salah seorang dari mereka) dari awal perjalanan mereka di Sekolah Islam Muhammadiyyah di Pulau Belitong, Indonesia yang usang dan miskin hingga mereka melangkah ke alam realiti, alam dewasa. Di sekolah usang itu, bersama-sama pasangan guru Ibu Muslimah dan Pak Herfan yang hanya menerima gaji sebanyak 15 gantang beras sebulan, sekumpulan anak-anak yang luar biasa ini menimba ilmu dan berusaha dengan kemampuan mereka untuk mengharumkan nama sekolah dan membina diri secara holistik.
Tetapi dari awal, saya seakan-akan diajak untuk menjadi salah satu daripada pelajar tersebut. menghayati perih jerih mereka hidup sebagai anak melayu miskin belitong. Ironinya, Belitong, digambarkan sebagai Tower of Babel. Ia ibarat syurga yang penuh kekayaan yang malangnya kenikmatan dan kekayaaan itu terperangkap di Gedong, kawasan elit di Belitong. Kekayaan Belitong datangnya dari anugerah bijih timah kurniaan Tuhan yang secara majoritinya hanya dinikmati oleh satu golongan orang sahaja. Anda akan merasa marah, kecewa dan mungkin seperti ingin membunuh orang dengan ketidakadilan ini sepanjang membaca novel. Dari satu sudut, Andrea Hirata telah berjaya dengan cara beliau sendiri untuk mengungkapkan rasa ketidakpuasan terhadap agihan ekonomi yang nyata membawa impak yang besar dalam hidup warga miskin Belitong.
Kemiskinan, seperti yang digambar dalam novel, menjadi musuh buat mereka yang lahir dengan potensi. Anda akan turut marah seperti Andrea Hirata di novel,
“Aku marah, kecewa pada kenyataan begitu ramai anak pintar yang terpaksa berhenti sekolah kerana alasan ekonomi. Aku mengutuki orang-orang bodoh berlagak pintar yang menyombong diri dan anak-anak orang kaya yang mensia-siakan kesempatan pendidikan.”
Dari sisi lain novel, anda akan tersenyum dengan keindahan cinta pertama, kemenangan bermaruah pelajar-pelajar Muhammadiyyah yang miskin ini meskipun reputasi sekolah mereka terkenal tidak baik kerana miskin dan dengan caranya ia memberi keyakinan dengan ‘hati dan jiwa’ yang besar segalanya mampu dihadapi meskipun anda seekor tikus yang lawannya adalah gajah. Selain ketawa, tidak dapat lari tidak anda akan menangis dan mungkin tersenyum dengan keindahan zaman kanak-kanak mereka yang penuh deskripsi bukan sahaja perasaan watak-wataknya malah tempat indah yang menjadi latar belakang kenangan Andrea. Dan sebagai seorang guru, jiwa anda juga akan turut tersentuh dan novel ini datang seakan-akan azimat berharga dalam memberi anda kekuatan jika anda seorang guru yang dihantar ke kawasan pedalaman untuk mengajar. Satu pengajaran berharga: setiap anak lahir dengan potensi dan bakat dan di dengan latar belakang keluarga yang susah, hanya guru yang dapat mencungkilnya. Dan bersedialah dengan kejutan geniusnya anak-anak ini yang akan menyebabkan anda ternganga. Anda akan menemui Isaac Newton/Michael Faraday atau Jules Verne/Warhol versi Melayu Belitong
Gaya bahasanya juga sangat bersahaja dan lucu seakan-akan membaca diari sendiri. Ia juga akan lebih indah andai anda suka atau rajin mengvisualize apa yang ditulis. Seolah-olah terasa sejuknya duduk di bawah redupnya pohon filicium, atau nikmatnya menjadi kanak-kanak ketika musim hujan dan betapa takutnya andai sesat di gunung.
Hukum Newton, muzik, kehebatan otak kiri dan otak kanan, anak nelayan, anak pelombong timah, kemistikan Tok Bayan Tula, Societe de Limpai, Michelle Yeoh versi penulis, Victorian style houses, kisah nabi-nabi, sejenis penyakit psikologi yang dipanggil mother complex, semua ini akan anda temukan dalam novel hebat ini menanti untuk dibaca sekiranya anda memerlukan sesuatu untuk membuatkan anda tersenyum dan menangis dan pada masa yang sama mengajar erti bahawa barang yang paling berharga dalam hidup walaupun anda membesar sebagai orang kaya, tokoh politik ternama, atau orang-orang berjasa seperti nelayan, posmen dan pelombong timah, bukanlah ‘wang’ yang dicari setiap hari, tetapi ‘kenangan masa lalu yang indah.’ Selepas membaca novel ini, saya mendapati masih terperangkap dalam kehidupan kumpulan Laskar Pelangi dan sukar untuk melepaskan diri darinya meskipun selepas itu beralih membaca novel lain.
Ini adalah sebahagian kata-kata menarik di dalam novel.
“Aku memberitahu kawan, cara bertindak Tuhan sangat aneh. Tuhan tidak tunduk pada hipotesis dan prinsip mana pun. Oleh kerana itu, Tuhan sama sekali tidak dapat diramalkan.”
“Orang Melayu, sebagaimana biasa, susah berorganisasi. Bukannya fokus pada ikhtiar untuk mencapai tujuan dan memenangkan persaingan tetapi sebaliknya mereka gemar sekali berpolitik sesama mereka sendiri.”
“Orang cerdas berdiri di dalam gelap, sehingga mereka boleh melihat sesuatu yang tidak boleh dilihat oleh orang lain. Mereka yang tidak difahami orang sekitarnya. Semakin cerdas, semakin aneh mereka. Orang sulit ini tidak berteman, dan mereka berteriak berputus-asa memohon pengertian. Sebahagian daripada mereka amat menderita.
Sebaliknya orang tidak cerdas hidupnya lebih bahagia. Jiwanya sihat walafiat. Isi
kepalanya damai, tenteram, sekaligus sepi kerana tidak ada apa-apa di situ.Kosong.”
“Cinta, barangkali dapat memunculkan sesuatu, kemampuan atau sifat-sifat rahsia, yang tidak kita sedari sedang bersembunyi di dalam tubuh kita.”
4 comments:
5 bintang! Go Farah! =)
did you write this? brilliant piece!
I have to agree...
This is a well-written review!
thanks! i hope all of you will be interested to read the book after reading this review ;)
Post a Comment