Pensyarah saya, Michael Lewis pernah mengatakan dalam kuliah tahun lepas, sesuatu fiksyen itu boleh dikategorikan sebagai berkualiti apabila fiksyen itu lebih focus kepada watak (character-driven) sebagai kekuatan cerita berbanding plot (plot-driven). Beliau memberi contoh beberapa novel yang sangat popular dan mencetuskan fenomena seperti yang anda semua tahu dan kebanyakkan orang memilikinya, iaitu novel J.K. Rowling yang kuat dengan plot. Bukanlah kuasa saya untuk mengatakan Harry Potter itu tidak berkualiti kerana saya sendiri merasakan tidak akan menghalang bakal-bakal pelajar saya membacanya seandainya mereka melakukannya untuk memantapkan bahasa inggeris mereka dan hanya buku itu sahaja yang mampu mereka baca. Tetapi senantiasa ada alternative lain dan saya akan cuba mencadangkan beberapa alternatif ini untuk mereka. Seingat saya Michael Lewis ada memberikan beberapa contoh novel yang berkualiti kerana wataknya iaitu novel-novel tulisan Jane Austen dan beberapa penulis terkenal Australia. Jadi, selepas membaca karya terbaru F. Tehrani, Bila Tuhan Berbicara, saya rasa seperti berani mengatakan karya ini berkualiti kerana fokusnya terhadap watak yang amat mendalam. Drama ini membicarakan tentang 3 watak manusia yang saya kira mewakili 3 golongan manusia, Razlan, Sahlan dan Mazlan.
Razlan seorang ekstremis agama, Mazlan, doctor yang baru terbunuh isterinya dan Sahlan seorang vulkanologis yang ingin menukar jantina. Secara amnya, drama ini bukan semata-mata ingin menceritakan bagaimana mereka yang terperangkap dalam gua/bunker cuba melepaskan diri, tapi ia lebih kepada cubaan untuk menyampaikan kepada pembaca akan hakikat sebenar ketiga-tiga golongan manusia.
Mazlan, mewakili golongan sebahagian besar manusia yang hidupnya hanya untuk diri sendiri dan orang-orang yang dikenali seperti keluarga dan rakan-rakan sekitar tanpa memikirkan akan nasib manusia secara keseluruhannya. Berapa banyak manusia yang terikat dengan pemikiran bahawa hidup ini adalah untuk belajar, bekerja, bernikah kemudian beranak, bercucu dan pengakhirannya mati. Mungkin juga Mazlan ini adalah golongan yang ambil peduli nasib sendiri, asalkan aku bahagia. Atau dalam bahasa Inggerisnya ‘ignorant’. Golongan seperti ini mendominasi sebahagian besar masyarakat muslim sekarang.
Watak seterusnya Sahlan mewakili kepada sebahagian golongan manusia yang boleh kita lihat di dokumentari-dokumentari mahupun di universiti-universiti tempat saya dan anda menimba ilmu yang sangat beriltizam dengan profesion mereka, sangat ahli dalam bidang yang diminati mereka, namun, sayang ilmu yang diperolehi hasil kajian demi kajian langsung tidak membawa mereka dekat kepada Tuhan. Padahal, setiap apa yang mereka perolehi itu merupakan suatu bicara Tuhan kepada mereka. Suatu alamat dan petunjuk jalan yang sepatutnya membawa mereka kepada destinasi yang haq, yakni alam akhirat. Razlan, seorang yang cuba membela nasib ummah menerusi cara ekstrim menurut banyak media massa, iaitu pengeboman.
Razlan mewakli segolongan manusia yang menyerahkan hidup untuk berjuang di jalan Allah. Meskipun cara beliau melakukannya mungkin tidak dipersetujui oleh sesetengah orang, tapi penampilan wataknya dalam novel ini adalah untuk menyatakan pandangan terhadap golongan ini. Watak ini juga menunjukkan bagaimana dengan kecintaan dan kefahaman yang mendalam terhadap janji Allah atas mereka yang berjuang di jalan-Nya manusia sanggup melakukan apa sahaja.
Secara amnya, unsure-unsur humor memeriahkan lagi drama ini seperti pengarah yang gila pentas, paduka ratu yang miang dan ketiga-tiga watak itu yang saling menyumbang kepada kekomikalan drama ini. Saya tidaklah pandai untuk memberi komen terhadap aspek-aspek lain kerana saya tidak lah ahli, tetapi saya mengesyorkan semua untuk membacanya kerana pada saya karya ini sarat dengan pemikiran dan falsafah dan juga ilmu-ilmu lain seperti ilmu kaji bumi, ilmu perubatan dan semestinya ilmu tentang Islam. Membacanya memberi anda peluang untuk menambahkan lagi pengetahuan tentang bidang-bidang lain atau boleh dikatakan naskah ini multipurpose. Dan apa yang penting sekali ialah novel ini dapat membuat anda menilai diri sendiri golongan manakah anda.
2 comments:
cam best je buku tu...
hmm...kene baca nih...huhu
yes you should.. buku tersebut boleh didapati di Toko Buku Rosyada Sulaiman
Post a Comment